Dua kluster baharu masing-masing satu di Kuching, Sri Aman

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengisytiharkan dua kluster baharu iaitu Kluster Kampung Hilir Lingga, Sri Aman dan Kluster Kampung Sinar Budi Baru, Kuching, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kedua-dua kluster berkenaan merupakan kluster komuniti yang merebak hasil pergaulan sosial.

“Kluster Kampung Sinar Budi Baru melibatkan tiga buah keluarga, sebanyak 38 individu telah disaring dengan 19 kes dikesan positif termasuk kes indeks, manakala 19 kes lagi didapati negatif.

“Justeru itu, kampung tersebut diperintahkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 10 hingga 23 Jun ini,” kata JPBN dalam kenyataan hari ini.

Tambah JPBN, Kluster Kampung Hilir Lingga juga satu kluster komuniti melibatkan tiga buah lokaliti iaitu di Kampung Hilir Lingga, Kampung Masjid Baru Lingga dan Taman Pasir Panas di daerah Sri Aman.

“Jangkitan merebak melalui pergaulan sosial dan aktiviti berziarah Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan ahli keluarga di tiga lokaliti tersebut dan sebanyak 23 individu positif,” ujarnya.

Dalam pada itu, JPBN berkata satu kluster diisytiharkan tamat semalam iaitu Kluster Penempatan Stapok, Kuching dan masih 76 kluster masih aktif di Sarawak.

Mengulas lanjut, JPBN berkata daerah berstatus merah kekal 28 dan tiada daerah berstatus hijau di Sarawak.

“Hari ini daerah Pusa bertukar ke status kuning daripada jingga, sementara Matu dan Lundu bertukar ke status jingga daripada status kuning,” tambahnya.

Suara Sarawak