Dua kluster baharu menjadikan 78 kluster aktif keseluruhannya

KUCHING: Dua kluster baharu diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Ulu Anap, Tatau dan Kluster Emperan, Selangau.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Kluster Ulu Anap merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Ulu Sungai Anap, Nanga Tau di Tatau, Bintulu.

Katanya kes indeks melibatkan seorang wanita tempatan berumur 38 tahun yang bekerja sebagai pekerja am swasta di sebuah sekolah rendah di Nanga Tau, yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Nanga Tau pada 29 April lalu dan disahkan positif Covid-19 pada 1 Mei lalu.

“Hasil siasatan lanjut serta aktiviti saringan pengesanan kes secara aktif melibatkan ahli keluarga, rakan sekerja dan kontak kasual kepada kes indek ini, terdapat penambahan sebanyak enam kes positif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JPBN menambah rumah panjang tersebut turut diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan saringan bersasar telah dijalankan dalam kalangan penduduk di rumah panjang terbabit.

“Seramai 125 individu telah disaring dengan 19 kes dikesan positif termasuk kes indeks, 104 individu dikesan negatif dan dua kes masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua 19 orang yang positif telah dirujuk ke Hospital Bintulu dan dimasukkan ke PKRC di bawah Hospital Bintulu bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya.

Manakala, JPBN berkata Kluster Emperan merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan tiga buah rumah panjang di Selangau.

Katanya kes indeks melibatkan seorang wanita tempatan berumur 27 tahun yang bekerja sebagai kerani di sebuah premis kerajaan di Pekan Selangau, yang dikesan melalui saringan individu bergejala.

“Kes indeks ini mendapat jangkitan daripada komuniti dan telah merebakkan jangkitan kepada ahli keluarga dan kemudian kepada penduduk di tiga buah rumah panjang tersebut melalui kontak rapat dan kontak kasual, kemudian merebak pula melalui rantaian kes-kes positif yang lain,” katanya.

JPBN menambah hasil siasatan lanjut dan aktiviti saringan pengesanan kes secara aktif melibatkan ahli keluarga, rakan sekerja kes-kes awal yang
didapati positif serta saringan bersasar di tiga rumah pajang tersebut, terdapat penambahan sebanyak 96 kes positif.

“Seramai 436 individu telah disaring dan 97 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks manakala 339 individu dikesan negatif,” katanya.

Katanya kesemua 97 kes positif telah dirujuk ke Hospital Sibu dan dimasukkan ke PKRC Daerah Sibu bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Justeru, terdapat sebanyak 78 kluster aktif di Sarawak, dengan 17 kluster merekodkan 150 penambahan kes baharu manakala 61 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Suara Sarawak