Dua kluster pusat jagaan warga emas, 30 daerah berstatus merah di Sarawak

KUCHING: Sejumlah enam kluster baharu dicatatkan di Sarawak hari ini dengan dua daripadanya melibatkan pusat jagaan warga emas di Kuching.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), ia adalah Kluster Jalan Stampin dan Kluster Iris Garden di daerah Kuching yang berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan penghuninya.

“Sementara yang lain adalah Kluster Jalan Keruing di Kuching, Kluster Kampung Serikin (Bau), Kluster Sawai Niah (Subis) dan Kuster Jalan Kidurong Empat (Bintulu),” kata JPBN dalam kenyataan hari ini.

Tambah JPBN, dua kluster telah diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Bungey, Betong dan Kluster Jalan Sawit, Sarikei selepas tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBN berkata Matu bertukar ke status merah dari jingga, menjadikan jumlah daerah berstatus merah telah meningkat kepada 30.

“Tiga daerah berstatus jingga, tujuh berstatus kuning dan tiada daerah hijau,” ujar JPBN.

Suara Sarawak