Dua kluster tamat, satu kes positif Covid-19 di Lawas

KUCHING: Dua kluster Covid-19 di Sarawak iaitu Kluster Baki dan Kluster Seladah di Daerah Kuching diisytiharkan tamat hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, kluster-kluster tersebut ditamatkan selepas tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lepas.

“Hari ini tiada kluster baharu dilaporkan dan tinggal empat kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas,” kata JPBNS dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, JPBNS menyatakan Sarawak merekodkan satu kes baharu positif Covid-19 kategori import B di Daerah Lawas, menjadikan keseluruhan kes positif di Sarawak meningkat kepada 1,068 kes.

“Kes ini melibatkan lelaki warganegara tempatan yang menjalani saringan sebagai individu yang baru balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan Sabah.

“Kes diberhentikan kerja sebagai pemeriksa perancah di sebuah tapak pembinaan di Kota Kinabalu, Sabah pada Oktober lalu dan balik ke Sarawak melalui ICQ Merapok, Lawas pada 28 November menggunakan kenderaan pensendirian bersama dua orang rakan,” ujar kenyataan itu.

Menurut JPBNS, kes telah menjalani kuarantin wajib 14 hari dan ujian rT-PCR mendapati kes positif Covid-19 pada 4 Disember lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

“Sementara itu Daerah Kuching dan Serian kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan tiga kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari, manakala 38 daerah lain kekal berstatus hijau,” tambah kenyataan.