KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan dua lagi kluster baharu di negeri ini iaitu Kluster Putai, Bukit Mabong dan Kluster Rayang, Serian, hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Kluster Putai, Bukit Mabong merupakan satu kluster di tapak pembinaan yang melibatkan pekerja projek pembinaan empangan hidroelektrik di Putai, Ulu Baleh, di daerah Bukit Mabong.
“Indek kes kepada kluster ini adalah kes positif ke-24,171 iaitu seorang wanita rakyat Sarawak berumur 39 tahun yang dikesan melalui saringan pra pekerjaan sebelum kembali bekerja di tapak pembinaan tersebut setelah bercuti di Daerah Kapit.
“Kes telah disahkan positf Covid-19 pada 18 April lalu dan hasil siasatan lanjut, kes indeks ini mempunyai kontak kepada dua kes dalam kalangan Kluster Pasai yang telah diisytiharkan tamat pada 13 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai Kluster Rayang, Serian, JPBN menjelaskan ia merupakan kluster komuniti yang dikesan di sebuah Kampung Rayang, Serian.
“Indeks kes yang pertama dikesan di kampung ini pada 6 April lalu iaitu kes positif ke-18,377 yang melibatkan seorang perempuan warga tempatan berumur 50 tahun dan dikesan melalui saringan individu yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif Covid-19.
“Kes yang bertugas sebagai guru di Pejabat Pendidikan Serian telah disahkan positif Covid-19 pada 5 April 2021.
“Susulan daripada beberapa kes sporadik di Kampung Rayang yang disyaki telah berlaku akibat penularan jangkitan di kalangan komuniti setempat, aktiviti saringan bersasar telah dilaksanakan di Kampung Rayang pada 20 hingga 23 April lalu.
Susulan penambahan kepada dua kluster tersebut, sebanyak 58 kluster yang masih aktif di negeri ini iaitu 18 kluster merekodkan 270 penambahan kes baharu, manakala 40 kluster tidak merekodkan penambahan kes.