KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSK) Sarawak menerima dua laporan berhubung kes penipuan melalui panggilan telefon dan‘love scam’, Rabu lalu, melibatkan kerugian kira-kira RM656,342.
Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kes pertama membabitkan seorang lelaki, 64, dari Daerah Serian, berkait penipuan melalui telefon melibatkan kerugian RM100,300.
Katanya, mangsa menerima panggilan daripada suspek pada Selasa lalu yang mengaku sebagai pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang menyatakan mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.
“Kemudiannya mangsa telah dihubungi oleh suspek melalui aplikasi Whatsapp, memperkenalkan diri sebagai Datuk Hasanuddin Hassan yang menyuruh mangsa memberikan butiran bank, ASB, perbankan dalam talian dan juga kata laluan.
“Pada hari yang sama, mangsa juga telah membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke tiga akaun yang berbeza berjumlah RM60,300,” katanya pada sidang media di IPK Sarawak, di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian membuat semakan perbankan dalam talian atas akaun ASB BSN dan mendapati terdalat pemindahan wang ke akaun pihak ketiga yang melibatkan empat kali transaksi ke dua akaun bank yang berbeza berjumlah RM40,000.
Sementara Mohd Azman berkata, kes berkait ‘love scam’ yang dilaporkan oleh seorang perempuan, 47, dari Daerah Miri, melibatkan kerugian sebanyak RM556,042.
“Mangsa pada 10 Januari lalu melayari Instagram telah berkenalan dengan seorang suspek yang kononnya dari berasal dari Brisbane, Queensland dan mempunyai perniagaan membekal dan penjual jentera berat.
“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek menggunakan mesej melalui aplikasi Whatsapp dan dilamun cinta.
“Suspek memberitahu akan terbang ke Turki dan memberitahu sedang mengalami masalah kewangan serta meminta mangsa memberi pinjaman wang,” jelasnya.
Beliau berkata, mangsa telah membuat pindahan wang secara dalam talian sebanyak 48 kali ke dalam tujuh akaun bank yang berbesa mulai 31 Januari hingga 3 Februari.
Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila suspek tidak dapat dihubungi pada 4 Mac lalu.
Dalam pada itu, Mohd Azman berkata, JSJK Sarawak telah menerima 33 laporan polis berkait kes penipuan melalui panggilan telefon dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mac, melibatkan kerugian RM1,803,361.87.