Dua lelaki dicekup miliki Syabu di Kuching

KUCHING: Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Padawan berhasil memberkas dua lelaki terlibat dalam kegiatan salah guna dadah di sebuah bilik tidak bernombor berhampiran Pasar Batu 7, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua suspek berjaya dijejaki hasil serbuan pihaknya sekitar jam 3 petang di lokasi.

Menurutnya, suspek ketika serbuan sedang leka duduk bersila di bilik berkenaan sebelum pasukan polis tiba dan memberi arahan untuk melakukan pemeriksaan terhadap mereka.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 34 tahun itu merupakan warga tempatan.

“Turut dijumpai tiga peket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis Syabu seberat 6 gram di atas lantai bilik terbabit,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, suspek serta barang rampasan seterusnya dibawa ke Pejabat BSJND Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Dedahnya, hasil maklumat siasatan lanjut mendapati barang kes telah dibeli acara dalam talian dan untuk dijual kepada pembeli di sekitar pekan Batu 7.

Tambahnya, suspek mengaku ada mengambil dadah Syabu pada hari terakhir mereka ditangkap.

Jelas beliau, semakan rekod turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau dibawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39a(1) ADB 1952.