Dua lelaki disyaki terlibat kes nombor ramalan palsu berjaya dicekup

KUCHING: Dua lelaki disyaki melakukan penipuan nombor ramalan palsu di MJC Batu Kawa pada 26 Ogos yang lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Abdullah berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun dilaporkan berjaya ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis Padawan, semalam.

Menurut beliau, sindiket tersebut menyebabkan seorang mangsa warga tempatan,70, telah mengalami kerugian sebanyak RM17,000.

Mustafa berkata, kedua-dua suspek mengaku warga Indonesia itu telah memenangi nombor ramalan palsu sebelum meminta tolong menggunakan akaun bank mangsa.

“Maklumat awal mendapati suspek dikatakan berjanji memberikan RM20,000 kepada mangsa selepas menebus wang RM300,000 kononnya hasil menang nombor ramalan.

“Mangsa yang tertipu telah memberikan maklumat akaun bank kepada suspek sebelum menyedari duit simpanannya hilang,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 54 dan 63 tahun itu kini berada Mahkamah Kuching bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Kes turut disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, video berkaitan dua suspek ditahan oleh orang awam pada petang Isnin tular di media sosial semenjak semalam.