Dua lelaki ditahan bersama 740 ekor burung murai kampung

KUCHING: Dua lelaki ditahan selepas didapati membawa 740 ekor burung murai kampung tanpa permit dengan menaiki bas dari Selangau ke Kuching, pagi tadi.
Tindakan kedua-dua suspek dikesan oleh sepasukan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membuat pemeriksaan ke atas bas tersebut sempena Ops Khazanah di Jalan Kuching-Serian.
Perkara tersebut telah disahkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (SFC) menerusi satu kenyataan rasmi dengan mendedahkan kedua-dua suspek berusia 46 dan 52 itu merupakan warga tempatan yang berasal dari Mukah dan Samarahan.
“Pasukan operasi berjaya menemui kesemua burung terbabit disimpan di dalam 37 buah sangkar di dalam bas,” kata kenyataan itu.
Tegasnya, kedua-dua suspek akan kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 37 (1) (c) di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Jelas kenyataan itu, burung tersebut merupakan spesies haiwan terlindung di bawah Ordinan.
Idividu yang didapati memburu, membunuh, menangkap, menjual, import, eksport atau memiliki secara haram mana-mana haiwan terlindung akan dikenakan tindakan tegas.
Ujar kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan untuk membantu menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti haram membabitkan hidupan liar terkawal di talian SFC hotlines- Kuching (019-8859996), Sibu (019-8883561), Bintulu (019-8332737) dan Miri (019-8290994).

BANYAK… Kesemua bakul berisi burung murai kampung yang ditemui di bawah bas

Suara Sarawak