PADAWAN: Dua lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam mencuri sebuah motosikal di Taman Duranda Emas, Siburan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek berumur 24 dan 18 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan di Taman Duranda Emas, Siburan di sini kira-kira jam 11.30 pagi.
Katanya, kedua-dua suspek tidak mengaku terlibat sama dalam kejadian curi motosikal.
“Suspek berumur 24 tahun tidak mengetahui berkenaan motosikal tersebut telah dicuri manakala suspek berumur 18 tahun mendapat tahu motosikal tersebut telah dicuri apabila diberitahu oleh anak pengadu iaitu sepupu kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu akan ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan direman bermula hari ini.
“Kedua-dua suspek juga akan menjalani ujian saringan awal air kencing dan akan disoal siasat lebih lanjut setelah reman diperolehi,” katanya lagi.
Terdahulu, pengadu, 49, yang meninggalkan rumahnya dari 2 Jun lalu bagi menyambut Hari Gawai menyedari motosikalnya yang diparkir dalam keadaan berkunci telah hilang.
