BAU: Dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 38 tahun ditangkap kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan judi melalui Op Padu yang dijalankan, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, beberapa barangan turut dirampas di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953.
“Sekeping kertas putih yang mempunyai angka loteri awam haram, satu unit telefon bimbit serta sejumlah wang turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya kedua-dua tangkapan dilakukan sekitar jam 10 pagi hingga 3.30 petang secara berasingan iaitu di sebuah rumah tidak bernombor, Pekan Jambusan Lama dan sebuah rumah kediaman, Jalan Kampung Serasot, Bau.
“Namun, semakan rekod lampau bagi kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” ujarnya.
Tambahnya, jika sabit kesalahan suspek boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun penjara dikenakan.
Manakala, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh lima tahun dikenakan sekiranya sabit kesalahan di bawah Seksyen 4A(a) ARJT1953.

