SIBU: Dua lelaki ditemui mati di dalam sebuah kapal di Bukit Lan dekat sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.30 pagi berhubung dua mangsa tidak sedarkan diri dalam ruangan bawah kapal.
Sejurus itu, katanya, 11 anggota diketuai PBK II Kennedy Ibi berserta sebuah jentera FRT dan EMRS bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati dua mangsa lelaki tidak sedarkan diri berada di dalam ruangan bawah kapal.
“Mangsa dibawa ke bahagian pintu utama dan menggunakan khidmat jengkaut milik syarikat bagi mengeluarkan mangsa,” jelasnya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut laporan bomba, mangsa yang maut iaitu Kiam Ngit, 37, merupakan warganegara, manakala Dhananth Koviri, 23, warganegara India.
Punca kematian masih dalam siasatan dan oerasi tamat pada jam 1.18 petang.