Dua lelaki maut motosikal bertembung Viva di Miri

MIRI: Dua lelaki maut apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan di Jalan Persisiran Pantai Miri, berhampiran Simpang Kejapil di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa, Steven Ateng, dan Clarance Ramos Kerry, yang berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia susulan kejadian yang berlaku pada jam 12.50 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati si mangsa dan pembonceng dalam perjalanan dari arah Miri menuju ke arah Bintulu.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal tersebut telah masuk ke laluan bertentangan lalu menyebabkan pertembungan dengan sebuah kenderaan Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng pula meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Miri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimana pun, ujarnya, pemandu kenderaan Perodua Viva dilaporkan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

 

Suara Sarawak