Dua lelaki positif dadah dicekup di Kampung Lidah Tanah

KUCHING: Dua lelaki positif dadah ditahan di Kampung Lidah Tanah, semalam.

Suspek masing-masing berusia 25 dan 30 gagal melarikan diri setelah serbuan kira-kira jam 1.17 petang dibuat oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah Bau.

Ketua Polis Daerah Bau, Dsp Poge Nyaon berkata, hasil positif didapati setelah suspek menjalani ujian saringan awal yang dijalankan oleh polis di tempat kejadian.

“Kedua-duanya ditahan kerana didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Pemeriksaan selanjutnya tidak menjumpai sebarang jenis dadah berhampiran suspek,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil semakan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Jelas beliau, suspek kini ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.