KUCHING: Dua lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah ditahan hasil sekatan jalan raya di Jalan Haji Taha, semalam.
Ketua Polis Balai Sentral, ASP Ahmad Abang berkata, penahanan dilakukan setelah sebuah kenderaan jenis Kancil dilihat cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya berkenaan sekitar jam 11.30 malam.
Menurutnya, pemeriksaan awal terhadap kenderaan terbabit mendapati terdapat dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan masing-masing berusia 24 hingga 25 tahun berada di dalamnya.
“Hasil pemeriksaan pada kenderaan tersebut berjaya menemui dua bilah parang, satu pembaris 40 inci, lima playar ragum pelbagai jenis, dua alat pembuka skru rim tayar, dan besi pemutar jack kereta.
“Kesemua suspek seterusnya di bawa ke lokap Balai Satok untuk siasatan lanjutan dijalankan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, barang-barang bersabit kes termasuk kenderaan turut di bawa ke balai polis Sentral untuk tindakan lanjut.
Dedahnya, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua-dua tahanan lelaki memiliki banyak rekod lampau berkaitan kes curi kereta, pecah rumah dan juga dadah.
Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958.
