KUCHING: Dua loji rawatan air baharu di Sebuyau dan Batu 27, Serian akan menambah kapasiti bekalan sebanyak 70 juta liter sehari apabila siap kelak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, loji berkapasiti 40 juta liter sehari di Sebuyau dan 30 juta liter sehari di Batu 27, Serian itu diluluskan Kerajaan Sarawak untuk dilaksanakan.
“Kedua-dua projek berkenaan merupakan antara usaha memperkukuh sistem bekalan air di wilayah selatan, selain mengurangkan kebergantungan Loji Rawatan Air Batu Kitang, Kuching.
“Jadi, kedua-dua loji ini akan menambah kapasiti sebanyak 70 juta liter sehari apabila siap kelak,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Acute System di Loji Rawatan Air Sebangan di sini, hari ini.
Julaihi berkata, pelaksanaan kedua-dua loji berkenaan dijangka mengambil masa sekitar 30 hingga 36 bulan, bergantung kepada pelaksanaan projek.
Katanya, tambahan kapasiti itu penting bagi menyediakan sumber sokongan kepada sistem bekalan sedia ada, khususnya Loji Rawatan Air Batu Kitang dan Loji Rawatan Air Slabi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebuah loji rawatan air berkapasiti lima juta liter sehari di Sebuyau yang menggunakan teknologi Acute System kini juga dibina dan dijangka siap Oktober ini.
“Loji berkenaan dibangunkan bagi memanfaatkan sumber air mentah yang terdapat di kawasan Sebuyau, selain membantu memenuhi keperluan penduduk di kawasan sekitar.
“Ia juga bukan sekadar memenuhi keperluan penduduk Sebuyau, sebaliknya akan membantu kawasan sekitar apabila sistem bekalan air diperkukuh,” jelasnya.
Julaihi berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada keperluan menyediakan sumber air mentah yang sesuai kerana tidak semua sungai di kawasan wilayah selatan boleh digunakan untuk tujuan rawatan.
“Faktor seperti kemasinan air sungai menyebabkan sumber air di sesetengah kawasan memerlukan pendekatan teknologi dan rawatan yang berbeza.
“Kesesuaian teknologi amat penting bagi memastikan air terawat dapat dihasilkan dan disalurkan dengan baik bagi memenuhi keperluan bekalan air,” ujarnya.
Beliau juga memberitahu perancangan memperkukuh bekalan air itu adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk memastikan kapasiti bekalan dapat memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.





