SIBU: Umat Islam yang menunaikan sembahyang terawih di masjid atau surau pada 10 malam terakhir sebelum menjelangnya Syawal, digesa supaya sentiasa mematuhi ketat prosedur operasi standard (SOP).
Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee berkata, ini susulan dua masjid di sini terpaksa ditutup kerana ada merekodkan kes positif dalam kalangan jemaahnya.
“Saya difahamkan ada dua masjid ditutup. “Masjid An-Nur dan Masjid Babussalam kerana ada kes. Kita sedih mendengarnya ketika tinggal beberapa hari lagi kita menamatkan ibadah berpuasa ini,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika Strim Langsung kemaskini perincian kes harian Covid-19 Daerah Sibu di laman sosialnya pada malam tadi.
Masjid An-Nur Sibu terletak di Jalan Awang Ramli Amit manakala Masjid Babussalam terletak di Kampung Jeriah.
Dr Annuar yang juga Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, rentetan itu jemaah di masjid dan surau di sini hendaklah sentiasa menjaga SOP.
“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bukan sahaja tidak dapat ke masjid atau surau, seluruh jemaah pun terkesan.
Jelas Adun Nangka itu, kelekaan dan kelalaian boleh mengundang bahaya kepada orang lain juga.