ASAJAYA: Dua lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di di kilometer 7, Jalan Kota Samarahan/ Asajaya di sini hari ini.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritenden Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 4.45 pagi, seorang penunggang motosikal berumur 67 tahun telah dilanggar oleh sebuah kereta pelbagai guna (MPV) yang dipandu oleh lelaki berumur 36 tahun.
“Penunggang motosikal sedang bergerak dari arah Kota Samarahan menuju ke Asajaya telah berlanggar dengan kereta MPV yang dipercayai cuba memotong ketika bergerak dari arah Asajaya menuju Kota Samarahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, selepas kemalangan itu, dipercayai pemandu kereta MPV tersebut telah cuba untuk melarikan diri dalam jarak lebih kurang 500 meter dari tempat kejadian pertama.
“Dia kemudian telah bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berumur 27 tahun yang bergerak dari arah Kota Samarahan menuju ke Asajaya.
” Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan pemandu kereta MPV disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pihak ambulans yang tiba,” katanya.
Sementara, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
