
BINTULU: Dua maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Rumah Robert Suai Jalan Pan Borneo Miri-Bintulu, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.49 tengah hari memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Isuzu Dmax.
“Terdapat empat mangsa dari Toyota Hilux, dua daripadanya hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Manakala dua mangsa yang tersepit di bahagian pemandu serta di bahagian penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa maut dikenali Pang Long Sheng dan seorang lagi mangsa masih belum dikenalpasti.
Manakala bagi kenderaan Isuzu Dmax, ketiga-tiga mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
“Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, Pasukan Bomba bersama jentera bertolak balik ke balai.
“Agensi lain yang turut terlibat ialah Balai Polis Batu Niah, Polis Bantuan, Klinik Batu Niah, Klinik Suai dan Emergency Respond Pan Borneo Team,” katanya lagi.