KOTA SAMARAHAN: Dua individu menerima padah setelah dikenakan notis atas kesalahan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 akibat dicekup kerana menghisap rokok di sebuah premis makanan, pada Jumaat.
Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Sarawak, Billy Sujang berkata, tindakan tersebut susulan Ops Bersepadu PPKHT 2004 dan pematuhan pembukaan semula ekonomi yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri di daerah tersebut.
Menurutnya, operasi serbuan yang dijalankan bermula jam 9.30 pagi hingga jam 12 tengah hari itu telah melibatkan pemantauan terhadap 34 buah premis meliputi 17 kedai runcit, 10 kedai makan, enam kedai gunting rambut dan sebuah pasar raya.
“Sebuah premis diarahkan tutup setelah didapati tidak mematuhi Standard Operasi Prosuder (SOP) iaitu tidak menyediakan senarai nama pengunjung dan tidak membuat pembersihan nyahkuman.
“Operasi sama turut mengeluarkan notis mengikut Seksyen 32B Akta Makanan 1983 kepada dua individu atas kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 (Pindaan 2018) kerana merokok di tempat makan,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, jika didapati bersalah kedua-dua tertuduh boleh dikenakan kompaun RM250 atau diambil tindakan mahkamah jika gagal membayar kompaun.
Dalam pada itu, dedahnya, turut ditahan dua pekerja asing tanpa permit sah di kedai serbaneka dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis Samarahan untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Billy turut menegaskan operasi tersebut akan diteruskan di seluruh Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP) dilaksanakan.
Terdahulu, operasi melibatkan seramai 24 anggota terdiri daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Samarahan, Majlis Perbandaran Kota Samarahan, PDRM dan RELA samarahan.