ARTIKEL

Dua pekerja pusat judi ‘online’ patah pinggang dan kaki ketika diserbu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua lelaki warganegara Indonesia masing-masing patah pinggang dan kaki selepas terjun daripada tingkat 2 sebuah kondominium di Jalan Ming Chung, di sini ketika rumah yang dijadikan sebagai pusat operasi dan pengurusan judi dalam talian itu diserbu oleh polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata kedua-dua suspek tersebut adalah antara tujuh orang yang ditahan, terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warganegara asing berusia dalam lingkungan 25 hingga 37 tahun yang bekerja sebagai operator di pusat perjudian dalam talian itu.

“Semasa serbuan, tiga daripada suspek telah terjun daripada tingkat dua kondominum terbabit namun dua berjaya ditangkap manakala seorang melarikan diri.

“Kedua-dua suspek yang ditangkap itu telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana seorang mengalami patah pinggang dan seorang lagi patah kaki,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam serbuan serentak ke atas sebuah lagi unit kondominium sama, Ahsmon berkata pasukan Task Force, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang menjalankan Ops Dadu Khas itu turut berjaya memberkas tiga lagi lelaki, seorang warga Indonesia dan dua warga tempatan yang berusia 17 hingga 23 tahun.

“Kesemua suspek yang ditangkap merupakan operator yang diupah oleh sindiket untuk mengendalikan pusat judi dalam talian tersebut,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal berdasarkan rekod transaksi mendapati premis pertama dipercayai membuat keuntungan kira-kira RM4.05 juta dalam tempoh sembilan bulan dan premis kedua mencecah RM270,000 dalam tempoh tiga bulan.

Katanya pasukan serbuan turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian termasuk enam unit komputer dan 21 unit telefon bimbit.

Ahsmon berkata kes siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang membawa denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun, termasuk denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

Selain itu, katanya kesemus suspek warganegara Indonesia yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Sementara, beliau berkata seorang suspek tempatan akan direman di Mahkamah Kuching hari ini manakala selebihnya ditahan menerusi Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU