BAU: Dua penganggur dicekup kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata kedua-dua suspek dicekup dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau.
Katanya tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 23 tahun di sebuah rumah di Kampung Apar, Singai di sini pada jam 9.30 pagi.
“Suspek ditahan ketika sedang berada di dalam bilik tidur sambil memasang muzik dan ujian air kencing mendapatinya positif syabu,” katanya dalam kenyataan.
Menjelas lanjut, beliau berkata pasukan serbuan turut menemui dadah jenis syabu dianggarkan seberat 1.13 gram di dalam bilik suspek.
Poge berkata tangkapan seterusnya juga dibuat oleh pasukan serbuan yang sama, ketika membuat pemeriksaan ke atas motosikal milik seorang lelaki berusia 31 tahun di hadapan sebuah rumah di Kampung Barieng, Singai kira-kira jam 10.15 pagi.
“Pemeriksaan di bawah tempat duduk motosikal tersebut menjumpai satu paket mengandungi syabu seberat 0.54 gram dan suspek juga didapati positif syabu,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
