Dua penjual nombor ekor haram dicekup

ROBAN: Dua suspek yang dipercayai aktif menjual nombor ekor haram di pekan Roban diberkas dalam dua serbuan Op Dadu IPD Saratok, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Saratok Deputi Superintendan Mordani Tanin mengesahkan kedua-duanya berusia 21 dan 47 tahun.

“Suspek pertama ditahan kira-kira 2:30 petang di sebuah kedai ‘snooker’ dan polis turut merampas telefon bimbit, kertas yang bertulis angka 4D haram dan pensel.

“Sementara suspek kedua diberkas di sebuah kedai makan pada 3:30 petang bersama telefon bimbit, mesin pencetak, kertas pencetak dan kertas yang bertulis angka 4D haram,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, suspek kedua sebelum ini mempunyai pelbagai rekod jenayah.

Mordani menambah, mereka ditahan di bawah Seksyen 4(A)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kini ditempatkan di lokap polis sementara menunggu perintah reman yang akan dikemukakan esok.