Dua peragut diberkas polis

MIRI: Dua lelaki diberkas polis kurang dari 24 jam selepas meragut beg tangan milik seorang wanita di sebuah premis makanan dekat Marina Square Fasa 1, semalam.

Insiden berlaku sekitar jam 8.25 pagi ketika mangsa bersama dua rakannya bersarapan pagi di premis terbabit.

Kedua-dua suspek pada awal kejadian dilaporkan tiba di hadapan premis dengan menaiki motosikal sebelum pemboncengnya turun lalu menarik beg tangan mangsa yang berada di sebelah kanannya.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari yang mengesahkan kejadian berkata kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya ditangkap pada hari kejadian di dua lokasi berbeza.

“Tangkapan pertama iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun dekat Kampung Bumi Hijau sekitar jam 7.39 malam manakala suspek kedua, 31, ditahan berhampiran bangunan di jalan Merpati pada jam 8.42 malam.

“Kedua-dua suspek mengaku telah mencuri beg tangan tersebut ketika disoal siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suara Sarawak