Dua premis judi dalam talian di Bau diambil tindakan

BAU: Taktik dua buah premis menyembunyikan aktiviti judi dalam talian membawa padah selepas polis bertindak memotong bekalan elektrik di bangunan tersebut, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, tindakan itu dilakukan pihaknya bersama beberapa wakil syarikat SESCO berhad sekitar jam 10.45 pagi hingga 11.30 pagi.

Katanya, pemotongan dilaksanakan di hadapan penjaga premis tanpa menggunakan sebarang kekerasan memandangkan mereka memberikan kerjasama baik sepanjang operasi.

Dedahnya, kedua-dua premis tersebut terletak di kawasan Pasar Siniawan dan Jambusan.

“Tindakan sedemikian diambil ke atas mana-mana premis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian haram supaya mereka tidak lagi dapat beroperasi.

“Justeru, pelaksanaan yang dilakukan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SERBU… anggota polis membuat pemeriksaan ke atas salah sebuah premis yang dikenal pasti menjalankan judi dalam talian.