
SARIKEI: Berdepan pelbagai rintangan, projek di kawasan Jerijeh dan Rajang akhirnya siap dan dijangka dapat dimanfaatkan oleh penduduk di kawasan itu tidak lama lagi.
Ia adalah pembinaan masjid untuk masyarakat Islam di Kampung Jerijeh dan Pasar Tani bagi kegunaan peniaga di Kampung Rajang.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, pelaksanaan kedua-dua projek yang bermula sejak dua tahun lalu itu bernilai lebih RM5 juta.
Bagi projek masjid yang dikendalikan oleh Syarikat Rimbun Prima Sdn Bhd bermula 21 Oktober 2020, katanya ia bernilai RM3.4 juta.
“Namun ia tidak termasuk kos penimbusan tapak berjumlah RM500,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar ( RTP) sebelum ini.
“Bagi tempat letak kereta, pagar dan karpet pula, peruntukan sudah diperolehi dan kerja-kerja berkaitan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau perkembangan projek itu semalam.
Selain itu, beliau yang juga Adun Kuala Rajang berkata pembinaan pasar tamu Kampung Rajang juga telah pun siap sepenuhnya.
Ujarnya, ia merupakan projek RTP beliau bernilai RM1.2 juta bagi tahun 2019 hingga 2020 dan dikendalikan oleh Syarikat Blue Sky, September 2022.