KUCHING: Dua rakan masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 5.99 gram dan Nimetazipam seberat 0.04 gram, lima tahun lalu.
Tertuduh Yoke Lee, 37, dan Hen Sen, 35, masing-masing mengaku bersalah selepas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan apabila didapati memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 5.99 gram.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan tiada hukuman sebat bagi tertuduh pertama (Catherine Ngan) mengikut Seksyen 289 (a) Kanun Keseksaan manakala tertuduh kedua (Chong Hen Sen) dikenakan tiga sebatan.
Tertuduh pertama mula menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini, manakala tertuduh kedua bermula dari tarikh reman pada 24 November 2020.
Berdasarkan pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta yang sama, kerana didapati memiliki dadah jenis Nimetazipam seberat 0.04 gram.
Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan terhadap kedua-dua tertuduh berkuat kuasa hari ini.
Kedua-dua tertuduh didakwa memiliki bahan terlarang berkenaan di sebuah hotel mewah di Muara Tebas, di sini, sekitar jam 1.15 petang, 3 Julai 2017.
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon mahkamah agar mengenakan hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran.