Dua rumah panjang terima bahan binaan

SELANGAU: Penduduk Rumah Gerinca sepanjang 21 pintu di Sungai Sebaya menerima bantuan bahan binaan iaitu bata, simen, pasir dan batu di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bagi kawasan Dun Tamin.

Adun Tamin Christopher Gira Sambang berkata, beliau turut menyerahkan sumbangan jubin kepada Rumah Anthony Amit sepanjang 15 pintu di Sungai Buloh, Selangau.

Menurutnya, melalui bahan binaan projek kecil luar bandar (MRP) itu, penduduk rumah panjang tersebut diharap akan memulakan kerja-kerja pembinaan secara gotong-royong. “Kami (kerajaan) berharap bantuan ini akan dapat meringankan beban yang ditanggung penduduk rumah panjang yang terlibat.

“Ini adalah usaha berterusan Kerajaan Sarawak yang diterajui oleh GPS untuk membantu golongan (rakyat) yang memerlukan,” katanya kepada media kelmarin.

Gira memaklumkan, beliau turut menerima beberapa lagi permohonan MRP-PPRMS daripada rumah panjang lain di kawasan Dun Tamin. Namun jelasnya, bantuan itu akan diberikan setelah beliau menerima peruntukan baharu kelak.

“Saya berharap mereka (penduduk) bersabar kerana bantuan sedemikian akan diteruskan di kawasan saya (Dun Tamin),” tambahnya.

Beliau seterusnya memberitahu, sebanyak 40 projke RTP di kawasan Dun Tamin kini dalam proses pelaksanaan dan tender. Beliau berharap kontraktor serta agensi pelaksana dapat menyiapkan projek RTP mengikut jadual yang telah ditetapkan.