SARIKEI: Dua sahabat masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan berlaku kejam terhadap haiwan terlindung dengan membunuh seekor beruang matahari dan memiliki daging haiwan tersebut.
David Morgan, 38, dan Lawrance Senabong, 48, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Stella Augustine Druce.
Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka secara bersama didakwa di bawah Seksyen 44(a) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar (WLPO) 1998 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44 (Bab 26) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar (WLPO) 1998 kerana memiliki daging haiwan terlindung seekor beruang matahari.
Stella Augustine menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 terhadap setiap tertuduh.
Sekiranya gagal menjelaskan denda mereka akan dikenakan penjara dua bulan.
Manakala, pertuduhan kedua, mereka secara bersama didakwa di bawah Seksyen 37(2)(b) WLPO 1998 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29(2) dibaca bersama Seksyen 37(2)(b) WLPO 1998 kerana berlaku kejam dengan membunuh haiwan perlindungan yang sama.
Bagi pertuduhan itu, mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mereka di sebuah ladang kelapa sawit di Daerah Matu, Daro, sekitar jam 3 petang, pada 23 Mei lalu.
Berdasarkan fakta kes mereka berdua telah menangkap seekor beruang matahari di dalam kawasan ladang kelapa sawit di Daerah Matu Daro, kira-kira jam 3 petang, 23 Mei lalu.
Selain itu, mereka sempat merakam video yang menunjukkan aksi mereka yang menangkap dan membunuh haiwan terlindung tersebut.
Video tersebut telah dimainkan di mahkamah sebagai bukti.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Arvin Khan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.