Dua sahabat pengedar dadah dicekup

SERIAN: Dua rakan sekampung dicekup polis kerana disyaki aktif mengedar dadah di sekitar bahagian ini.

Suspek yang masing-masing berusia 20 dan 32 tahun dari Kampung Sebayor, Kota Samarahan ditangkap di pekan Serian sekitar jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata kedua-dua lelaki terbabit ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di kaki lima sebuah kedai di sini.

Katanya semasa pemeriksaan tubuh badan, polis menjumpai dadah jenis Metamfetamin (syabu) yang disimpan di dalam sekotak rokok jenama Era di poket seluar salah seorang suspek.

“Apabila diperiksa di dalam kotak rokok itu, ia didapati mengandungi lima paket plastik lutsinar yang semuanya berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis metamfetamin,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Lima paket plastik mengandungi dadah jenis syabu yang dirampas dari suspek.

Aswandy menambah dadah yang dirampas itu dianggarkan seberat 5.68 gram dengan nilai pasaran RM800.

Katanya kedua-dua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian dan ditahan di lokap IPD Serian untuk siasatan lanjut.

“Kesemua dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan kepada penagih- penagih di Serian,” katanya.

Namun, Aswandy berkata ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya1952.

Suara Sarawak