
KUCHING: Dua sahabat mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Seksyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang wanita di sebuah stesen minyak.
Tertuduh Nazeem, 31, bekerja sebagai tukang paip dan Fairud, 32, tidak bekerja membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maris Agan.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama melaku rompak berkumpulan terhadap seorang wanita berusia 51 tahun dengan mengambil beg tangan mangsa di sebuah stesen minyak, Jalan Padungan, pada, 18 April lalu.
Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, sekiranya didapati bersalah.
Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie tidak menawarkan sebarang jaminan bagi menggelakkan mereka mengulangi kesalahan yang sama serta melarikan diri.
Namun, Peguam Bela Abdul Rahman Mohd Hazmi yang mewakili tertuduh pertama Mohd Nazeem, memohon agar dibebaskan dengan ikat jamin kerana perlu bekerja menanggung isteri dan dua orang anaknya.
Hakim Maris kemudian membenarkan mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 beserta seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.
Mahkamah juga menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 26 Mei depan.
Pendakwan kes dikendalikan oleh Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie.