SARIKEI: Dua sepupu dari sini antara beberapa rakyat Malaysia yang kini dipercayai diperdagang dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ oleh satu sindiket di Myanmar.
Ketua Polis Daerah Sarikei Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu daripada seorang wanita kira-kira jam 12.43 petang semalam.
Katanya, wanita itu melaporkan telah menerima mesej melalui Whatsapp daripada adiknya yang berusia 29 tahun dan sepupunya berusia 35 tahun yang kini berada di Myanmar dan memberitahu mereka bersama-sama beberapa orang rakyat Malaysia yang lain telah didera oleh majikan mereka.
“Adik pengadu pergi ke Thailand pada Julai lalu manakala sepupunya pada Jun lalu, setelah mendapat tawaran pekerjaan melalui Facebook dengan gaji lumayan.
“Merela kemudian dibawa ke Myanmar oleh ejen selepas tertarik dengan tawaran gaji sebanyak RM3,000 sebulan, namun tidak diberitahu apa pekerjaan.
“Pengadu juga dimaklumkan bahawa kad pengenalan dan pasport mereka telah diambil oleh majikan,” katanya.
Ujarnya, mereka turut dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ dan sekiranya gagal mencapai sasaran yang dikehendaki, mereka akan didenda, didera atau dijual kepada ejen yang lain dan kadang kala dipaksa untuk makan makanan yang tidak halal.
Justeru, Awang Arfian menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan di media sosial yang menjanjikan gaji lumayan terutama di luar negara.