
KUCHING: Dua sepupu lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mencuri lima keping atap zink, satu tong gas dan satu pagar besi milik ibu kepada salah seorang tertuduh.
Tertuduh Elvin Thomas Nuing, 23, dan Janykhal Ujang, 30, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan dua majistret berbeza.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama melakukan kesalahan mencuri lima keping atap zink dan seunit pagar besi milik wanita berusia 43 tahun di sebuah rumah beralamatkan Taman Sri Emas, Batu Kawa, sekitar jam 7.30 pagi, 13 Februari lalu.
Oleh itu, kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman penjara dua bulan masing-masing kepada kedua-dua tertuduh berkuat kuasa hari ini.
Manakala, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana melupuskan harta curi sebuah tong gas milik mangsa yang sama dengan menjual ke sebuah kedai di Lorong 7, Batu Kawa, kira-kira jam 7.30 malam, 13 Februari lepas.
Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan kepada setiap tertuduh.
Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan ibu kepada Elvin (tertuduh pertama) menerima mesej daripada kakaknya menyatakan melihat tertuduh bersama-sama anak saudara(Janykal) sedang mengangkat atap zink yang diletakkan di belakang rumah pengadu.
Pengadu kemudian bergegas pulang ke rumah lalu membuat pemeriksaan mendapati barang rumah seperti seunit pagar besi, sebuah tong gas dan lima keping atap zink telah hilang, melibatkan kerugian sekitar RM900.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua pegawai pendakwa berbeza iaitu Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala mereka tidak diwakili peguam.