Dua suspek dicekup miliki dadah di Bau

BAU: Tindakan mencurigakan seorang lelaki warga tempatan terbongkar setelah didapati cuba menyembunyikan dadah daripada pihak polis di hadapan sebuah premis terbiar Kampung Pangkalan Terbang, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP poge Nyaon berkata, pemeriksaan dilakukan ketika suspek duduk bersendirian oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Dadah(BSJND) Bau sekitar jam 3.20 petang.

Menurutnya, suspek berusia 22 tahun itu mengaku sebagai penganggur dan merupakan penduduk asal lokasi tempatnya ditahan.

“Hasil pemeriksaan serbuan menemui satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis Syabu seberat 0.19 gram di dalam sebuah kotak rokok berada di sebelah tempat duduk suspek.

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibawa ke lokap balai polis Bau untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, siasatan mendapati suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

Dalam pada itu, dedahnya, satu kes tangkapan berasingan melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun bagi membantu siasatan penemuan dadah jenis syabu seberat 0.24 gram pada hari sama.

Jelasnya, barang kes ditemui hasil pemeriksaan anggota petugas khas Bau di dalam tempat letak barang sebuah kereta di belakang bangunan kedai makan siang-siang Bandar Bau sekitar jam 4.30 petang.

Tambah Poge, suspek yang didapati mempunyai rekod kesalahan lampau itu turut disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine hasil ujian awal saringan air kencing.

Sehubungan itu, suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibawa ke lokap balai polis Bau untuk tindakan lanjut.

Tegasnya, jika sabit kesalahan suspek boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.