Dua tempat di Bau banjir

KUCHING: Dua tempat di daerah Bau dinaiki air susulan hujan lebat pada jam 4 hingga 5 petang semalam, berpunca dari air sungai dan sistem perparitan yang tidak teratur.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin, ia di Kampung Bijuray Mongag Krokong dan Libiki Bamboo Resort Kampung Bijuray Mongag Krokong.

Katanya di Kampung Bijuray, limpahan air sungai beransur surut dengan ketinggian 0.3 meter di mana dua buah runah telah dimasuki air.

“Tiada permindahan mangsa dilakukan dan keadaan masih terkawal,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Manakala di Libiki Bamboo Resort, beliau berkata kenaikan paras air telah mengakibatkan laluan utama ke tempat peranginan itu terputus dan pengunjung tidak dapat keluar dari kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Ismail berkata dalam tempoh lebih sejam keadaan air telah beransur surut dan terkawal.

“Semua pengunjung di situ dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Hujan di satu dua tempat diramalkan pagi ini, manakala ribut petir di satu dua tempat di kawasan pedalaman pada petang dan hujan di beberapa tempat di kawasan pedalaman pada malam.