Dua tokoh seni anyaman terima anugerah kecemerlangan

KUCHING: Dua artis Sarawak diberi anugerah kecemerlangan oleh Kerajaan Sarawak kerana telah mengharumkan nama negara di Majlis Perhimpunan Dewan Kraf Dunia Asia Pasifik ke-39 secara dalam talian di Tashkent, Uzbekistan baru-baru ini.

Abot Gudang dan Sandra Trinata yang membawa hasil kraftangan ayaman tikar bertemakan ‘The Glow Tree of Life’ berjaya mendapat anugerah kraf terbaik dalam majlis tersebut.

Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Datuk Abdul Rahman Karim Hamzah berkata, Abot satu-satunya rakyat Malaysia yang mendapat anugerah tersebut.

“Daripada 50 penyertaan dari pelbagai negara-negara Asia Pasifik hanya 18 orang sahaja yang menerima Anugerah kraf Terbaik.

“Saya amat berbangga dengan beliau walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19, beliau terus komited menghasilkan karya-karya yang menarik dengan kerjasama penenun tikar gelasah dari Serikin yang diketuai oleh Sandra Trinata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang  Majlis Perhimpunan Dewan Kraf Dunia Asia Pasifik ke-39 di Dewan Kraf Sarawak, hari ini.

Tambah Karim, sejak Covid-19 melanda dunia para seniman berjaya menyesuaikan diri dengan pameran atas talian apabila mengambil bahagian di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, usaha itu memberi pendedahan kepada pelancong asing tentang kekayaan dan kepelbagaian seni di Sarawak sekali gus menjadi tarikan pelawat pada masa akan datang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Hii Chang Kee dan Penasihat Persatuan Atelier Sarawak Dayang Mariani.