KUCHING: Dua wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan atas kesalahan mengambil dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, Disember tahun lalu.
Tertuduh Indra, 28, dan Norhsikin, 34, masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 2 Disember 2021 dan dua tahun pengawasan.
Kedua-dua tertuduh, didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran.