Dua wanita rugi RM36,800 ditipu sindiket pinjaman wang dalam talian

KUCHING: Dua wanita terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM36,800 akibat ditipu sindiket tawaran pinjaman wang yang menarik oleh syarikat dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial(JSJK) Sarawak, Supt Maria Rasid mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian yang menimpa kedua-dua mangsa, semalam.

Menurutnya, mangsa berjaya ditipu berikutan tertarik terhadap tawaran pinjaman wang yang diiklankan oleh syarikat berkenaan.

“Mangsa, 25, daripada Samarahan mendedahkan suspek berjaya membuatnya melakukan 16 transaksi wang kepada empat akaun berlainan bernilai RM36,000 antara 31 May hingga 10 Jun 2020.

“Individu kedua, 22, daripada Padawan turut melaporkannya membuat transaksi sebanyak RM800 setelah berurusan dengan sebuah syarikat di laman Facebook untuk membuat pinjaman wang RM10,000.

“Kedua-duanya menyedari tertipu setelah suspek malah meminta bayaran tambahan namun wang pinjaman masih tidak diterima,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, dedahnya, sebanyak 162 kes penipuan pinjaman tidak wujud melibatkan kerugian melebihi RM1.6 juta dilaporkan berlaku pada tempoh 1 Januari hingga semalam(11 Jun) di Sarawak.

Tambahnya, daripada jumlah terbabit, sebanyak 26 tangkapan berkaitan kes berjaya dilakukan dalam tempoh masa sama.

Dalam pada itu, tegasnya, pihak polis masih lagi dalam proses menjalankan risikan demi membanteras sindiket penipuan pinjaman tidak wujud di seluruh Sarawak, tahun ini.

Maria dalam kenyataanya turut menasihati orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman melalui laman sesawang, media sosial atau melalui aplikasi telefon pintar seperti WhatApp, Wechat dan sebagainya.

Susulan daripada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai masalah berkaitan untuk melaporkan menerusi WhatApp atau mesej ke Commercial Crime Investigation Department (CCID) infroline di talian 013-2111222.

Suara Sarawak