Dua wanita, seorang lelaki ditahan selepas disyaki miliki dadah

MIRI: Tiga individu termasuk dua wanita ditahan polis selepas disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel murah di Jalan Lee Tak di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, pihaknya melakukan serbuan di sebuah bilik hotel pada kira-kira jam 12 tengah hari dan melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki warga Indonesia serta dua wanita tempatan.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia antara 18 hingga 34 tahun itu dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut selepas penemuan dadah yang dianggarkan bernilai RM2,300.

“Pemeriksaan awal menemukan beg sling warna coklat di atas lantai yang mengandungi satu paket plastik warna coklat dan dua paket plastik warna putih berisi dadah jenis serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 113.83 gram.

“Turut ditemui, 10 biji pil warna merah jambu dadah jenis ekstasi (3.51 gram) dan tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal dadah jenis Ketamine (2.00 gram),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, siasatan awal mendapati lelaki tersebut membeli dadah berkenaan melalui aplikasi ‘Wechat’ sebelum menjualnya di pusat-pusat hiburan di sekitar Miri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Suara Sarawak