Duduk di rumah, elak duduk di hospital

JAGUH baling tukul besi negara, Jackie Wong memberi amaran jangkitan Covid-19 bukan satu jenaka dan menasihatkan masyarakat supaya mengambil perhatian serius dalam usaha mengekang wabak itu.

Sebagai seorang atlet, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan balingan sejauh 68.22 meter (m) itu tidak pernah membayangkan dirinya akan dijangkiti CovidD-19, apatah lagi mengambil kira gaya hidupnya yang aktif.

“Covid-19 tidak pilih sesiapa.

Saya tidak pernah terfikir akan menjadi salah seorang yang dijangkiti wabak ini.

“Tetapi saya anggap ini sebagai satu ujian, mungkin sepanjang tempoh sebulan kuarantin ini Tuhan nak saya belajar sesuatu.

“Saya nasihatkan kepada semua masyarakat kalau tidak mempunyai apa-apa urusan jangan keluar rumah.

Lagi elok duduk di rumah, ia jauh lebih baik berbanding duduk di hospital,” katanya kepada Bernama.

Jackie, 27, merupakan atlet negara pertama disahkan positif Covid-19 dan berikutan keputusan sampel ujian Covid-19 yang tidak konsisten sehingga kini, menyaksikan sudah hampir sebulan beliau menjalani tempoh pengasingan dan rawatan di Hospital Sibu, Sarawak sejak 16 Mac lepas.

Jackie antara atlet olahraga negara yang tidak mengenal erti putus asa serta menyerah kalah selepas memecahkan rekod kebangsaan acara baling tukul besi sebanyak 17 kali sepanjang bergelar atlet.

Semangat itu kini menjadi motivasi pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu dalam melawan jangkitan CovidD-19 apabila terpaksa melupakan hasrat pulang ke rumah dalam masa terdekat susulan keputusan ujian sampel Covid-19 terbaharu yang diambil semalam menunjukkan keputusan positif.

Jackie perlu disahkan negatif dalam dua ujian yang dijalankan secara berturut-turut sebelum dibenarkan keluar dari hospital dan sehingga semalam, beliau menjalani antara tujuh dan lapan ujian Covid-19 sepanjang dikuarantin.

Dalam pada itu, situasi yang dilalui Jackie turut mendapat perhatian jurulatihnya dari China, Gu Yuan yang sering memantau perkembangan kesihatannya selain meminta beliau memberi lebih tumpuan kepada rawatan berbanding memikirkan terhadap prestasi.

“Kami sering berhubung kerana saya ada hantar klip video latihan supaya beliau (Gu Yuan) boleh menilai perkembangan semasa saya, tetapi dia selalu nasihatkan saya jangan terlalu fokus kepada latihan supaya saya boleh sembuh dengan segera,” kata Jackie.

Berdoa sebaik bangun dari tidur sebelum menghabiskan masa membaca buku atau menonton filem adalah antara rutin harian Jackie sejak sebulan lepas di hospital.

Manakala pada sebelah petang beliau lebih gemar melakukan aktiviti kecergasan fizikal.- Bernama

Suara Sarawak