Dugaan berganda menunggu kita

SETIAP tahun, November merupakan permulaan musim tengkujuh, dan ia berlarutan hingga penghujung Februari atau awal Mac tahun depan.

Kini kita sudah pun memasuki penghujung November, dan beberapa kawasan terutama di pantai timur Semenanjung Malaysia, sudah pun digenangi air akibat hujan lebat, atau air pasang besar.

Malah beberapa kawasan rendah atau berdekatan sungai, ‘tenggelam’, lantas menjejaskan rutin kehidupan penduduk setempat.

Di Sarawak turut mengalami nasib yang sama. Cuma keadaannya masih terkawal, berbanding di Semenanjung yang sudah pun membabitkan beberapa pusat pemindahan mangsa banjir.

Sukar untuk kita bayangkan jika keadaan banjir yang lebih teruk selepas ini, terutama pada Disember hingga Januari nanti, kerana ia bertembung dengan pandemik Covid-19 yang belum lagi reda.

Situasi di pusat pemindahan tentunya menakutkan apabila ramai yang berkumpul di satu tempat untuk jangka masa yang agak panjang, memungkinan perebakan Covid-19 lebih mudah.

Bagaimanapun, pihak kerajaan tentunya mempunyai alternatif dan perancangan bagi menghadapi situasi tersebut, kerana sebelum ini kita tidak pernah menghadapi dua krisis dalam satu masa.

Misalnya, kawalan ketat di pusat pemindahan, memastikan setiap mangsa bebas daripada jangkitan, di samping sentiasa memantau keadaan mangsa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Selain itu, kesiapsiagaan pasukan Bomba dan Penyelamat serta pasukan sukarela pasti banyak membantu.

Mereka sudah pun menjalani beberapa latihan dan taklimat sejak Oktober lalu. Sehingga kini lebih 1,500 telah pun bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ujian alam.

Namun sebagai rakyat, kita juga mempunyai peranan tersendiri. Dalam keadaan yang belum selamat sepenuhnya daripada Covid-19, kita wajar mengekalkan disiplin diri, yakni terus patuh terhadap saranan dan panduan yang telah diberikan oleh pihak berkuasa.

Ini kerana ketidakpatuhan, hanya akan merumitkan lagi keadaan. Seperti saban tahun, kanak-kanak atau remaja, malah golongan dewasa begitu seronok bermain air banjir di pekarangan rumah.

Dalam keseronokan, harus beringat kerana “malang tidak berbau”. Para ibu bapa hendaklah sentiasa memantau aktiviti anak-anak ketika bermain air banjir atau mandi sungai ketika ini.

Tragedi demi tragedi yang berlaku sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran dan iktibar. Sayangilah diri sendiri dan keluarga anda. Yang pasti, ia merupakan dugaan berganda bagi kita, kerana terpaksa menghadapi dua musibah dalam satu masa.

Apa yang kita harapkan ialah keadaan Covid-19 tidak bertambah teruk, dan banjir dalam keadaan terkawal. Sama-samalah kita memanjangkan doa dari semasa ke semasa.