Dulu kerja dengan orang kini PENGUSAHA KEK

KUCHING: Bermula dengan sejarah ditamatkan kontrak perkhidmatan, Mohd Faiz Busman menjadikan titik hitam tersebut sebagai sumber inspirasi untuk bangkit meneruskan kehidupannya.
Dia yang pada awalnya hanya suka-suka, berani memulakan langkah cebur dunia perniagaan Kek Tapak Kuda, bersama-sama rakan niaga, Norashikin Mohd Ismail sejak 2018
“Dengan keadaan yang sukar mendapatkan pekerjaan pada masa itu, saya mengambil peluang yang ada menjalankan perniagaan kek tapak kuda yang kekal beroperasi sehingga hari ini.
“Saya masih ingat lagi, pada jualan pertama pada Hari Raya kedua, kami menghasilkan lebih 30 gulung kek tapak kuda yang pada asalnya hanya untuk dimakan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Menurut Mohd Faiz, dia bagaimanapun tidak menjangkakan tindakannya memuat naik gambar kek tapak kuda yang dihasilkan di laman Facebook, membawa tuah kepada dirinya.

Dengan paparan yang dinaikkan pada hari tersebut, keknya berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna media sosial yang mengikutinya.
“Dahulu, kami hanya menyediakan dua perisa utama untuk kek ini iaitu perisa Nutella dan juga keju.
“Oleh kerana mendapat permintaan yang tinggi dari semasa ke semasa, kami mengambil langkah mempelbagaikan perisa sehingga 21 jenis secara keseluruhan,” katanya lagi.
Mohd Faiz menjelaskan, antara perisa digemari ramai setakat ini ialah kek tapak kuda berperisa Nutella dan yang terbaru ialah Coklat Moist Cadburry, Redvelvet Cheese dan Brownies Nutella.
“Kami menjalankan perniagaan ini dari rumah dengan mengambil tempahan pelanggan secara dalam talian.
“Bagi penggemar kek ini, mereka boleh mendapatkannya dengan harga serendah RM10 mengikut perisa yang disukai,” katanya lagi.
Mengulas keuntungan yang diperoleh pula, Mohd Faiz menganggarkan perniagaan yang awalnya bermodalkan RM80 itu dapat memberi pulangan sehingga RM2,000 hingga RM5,000 sebulan, bergantung permintaan pelanggan.
“Kami bersyukur kerana kek ini mempunyai peminatnya tersendiri, yang mendorong operasi perniagaan kekal konsisten meskipun sepanjang wabak Covid-19 melanda.
“Meskipun mendapat permintaan yang kurang pada musim tahun baharu lalu, namun kami tidak pernah putus menerima tempahan daripada pelanggan setiap hari,” jelasnya.
Difahamkan, kek tapak kuda berperisa Nutella, keju dan kacang dijual dengan harga RM10, manakala RM13 untuk perisa Brownies Nutella, Redvelvet Cheese dan Coklat Moist Cardburry.
Bagi mana-mana individu yang menggemari manisan ini, mereka boleh melayari laman Facebook Kek Tapak Kuda yang dimiliki sepenuhnya oleh Ishekien Enterprise.

 


Suara Sarawak