Dulu RM3,000, kini RM500

KUCHING: Hasil pendapatan daripada menjual ikan terubuk masin sejak 2011 di Medan Niaga Satok sehingga kini banyak membantu Zaini Rahman, 56, membesarkan lima anaknya.

Baginya, keuntungan menjual ikan terubuk sebelum Covid-19 amat memberangsangkan.

Beliau pernah memperolah hasil jualan sekitar RM1,000 hingga RM3,000 sehari sebelum Covid-19.

“Daripada hasil menjual ikan terubuk ini jugalah saya dan isteri yang bekerja di sebuah syarikat swasta dapat membeli rumah dan beli kereta.

“Malah kami dapat membesarkan semua lima anak saya sehingga ada yang belajar sehingga ke universiti.

“Berbeza pula sejak pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memang kedai ini tidak dibuka selama tiga bulan dan hari ini (semalam) baharu dibuka.

“Hari pertama sambutan memang kurang sebab kita tahu tidak ramai orang luar berkunjung,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Medan Niaga Satok, Sabtu.

Zaini mengakui dia banyak bersabar dengan situasi semasa sepanjang penularan Covid-19, kerana kurangnya pelbagai acara serta aktiviti keramaian di Kuching.

“Kita bersabar sahaja dengan keadaan tersebut.

Kita tidak boleh paksa sesiapa untuk datang ke sini sebab kita tahu banyak penerbangan dari luar belum lagi dibenarkan.

Tiada aktiviti sukan antarabangsa, tiada majlis konvokesyen dan sebagainya,” jelasnya yang menjual ikan terubuk Sarawak dan terubuk dari luar negara.

Sepanjang 33 tahun menjadi seorang bapa katanya, dia turut menjangkakan kesan Covid19 akan dirasai sehingga tahun hadapan selagi vaksin belum ditemui.

Zaini kini hanya mampu memperoleh hail jualan sekitar RM400 hingga RM500 sehari berbanding sebelumnya.

Katanya, dia ada memohon bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dan permohonanya telah diluluskan.

Beliau turut menasihatkan para bapa untuk terus berani mencuba sesuatu bidang yang diminati serta bidang yang dikuasai untuk mencari rezeki.

“Usaha selagi mampu untuk mencari rezeki halal untuk keluarga. Jika sukar carilah kawan yang dapat membantu dan harus sentiasa bersabar,” katanya yang berasal dari Kampung Panglima Seman Ulu.