PADAWAN: Penyandang Dun Mambong, Datuk Dr Jerip Susil menjangkakan menerima tentangan daripada sekurang-kurangnya empat calon parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti.
Katanya ia memandangkan beberapa parti dilihat telah menyatakan keinginan untuk bertanding di kawasan berkenaan.
“Saya rasa dalam pilihan raya ini ramai yang akan bertanding iaitu daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Pakatan Harapan dan ada calon bebas juga.
“Sekurang-kurangnya empat ke enam calon yang akan bertanding,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Pacakan Bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS), di Pejabat Pusat Perhubungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Mambong, hari ini.