DUN Sarawak bersidang esok, bentang dua RUU

KUCHING: Dua Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok.

Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata RUU Perbekalan Tambahan (2019) dan RUU Perbekalan Tambahan (2020) itu akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Bagaimanapun, katanya tiada sesi soal jawab memandangkan persidangan hanya sehari.

“Akan ada pernyataan oleh menteri di bawah Perintah Tetap 11 (1) (i),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pra majlis sempena persidangan DUN di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Asfia menambah tiada perasmian dan amanat oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dalam persidangan kali ini.

Selain itu, beliau berkata tiada usul akan dikemukakan termasuk usul penangguhan persidangan.

Dalam pada itu, Asfia berkata sehingga semalam, terdapat tujuh Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan serta lapan Kertas Perintah telah diserahkan kepada Setiausaha DUN.

Sementara menjawab persoalan mengapa persidangan diadakan ketika penularan Covid-19 pada masa ini, beliau berkata jika persidangan tidak diadakan maka Dewan akan terbubar secara tidak sengaja dan ia akan diikuti dengan Pilihan Raya Negeri dalam 60 hari dari tarikh pembubarannya.

“Dari perspektif Perubatan dan Kesihatan Awam di tengah-tengah pandemik, adalah jauh lebih selamat untuk mengumpulkan 82 Ahli Yang Berhormat dengan jarak sosial di bangunan yang dibasmi kuman daripada beribu-ribu pengundi keluar mengundi dengan jarak sosial di bangunan yang tidak selamat di seluruh negeri,” katanya.

Manakala mengenai persidangan DUN melalui sidang video, Asfia menjelaskan isu itu tidak timbul.

Katanya mengikut Perkara 21(1) Perlembagaan Negeri, “Yang di-Pertua Negeri boleh dari semasa ke semasa memanggil Dewan Undangan Negeri, dan harus tidak membenarkan enam bulan berlalu antara persidangan terakhir dalam satu sesi dan tarikh yang ditetapkan untuk bersidang pada sesi seterusnya.”

Kali terakhir persidangan DUN adalah pada 13 November 2019 dan akan bubar pada 13 Mei 2020.