KUCHING: Persidangan kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tahun ini dijangka akan mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) termasuk pelaksanaan RUU Anti Lompat Parti.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, RUU itu bagaimanapun belum lagi disahkan sama ada akan dibentangkan dalam persidangan pada Mei nanti.
Namun katanya, RUU itu dilihat sebagai cadangan bagus sebagai rujukan untuk Sarawak memperjuangkan atau meminta beberapa hak dan keistimewaan dalam membentuk Malaysia.
“Sekiranya perkara ini dibentangkan sebagai RUU untuk dibahaskan maka kita akan bahas.
“Sebab itu saya katakan, ia mungkin menjadi RUU tetapi ada juga beberapa RUU yang menarik,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Karim menambah, perkara itu sememangnya wajar diberi perhatian namun perlu mendapat perhatian awal daripada Kerajaan Sarawak dan pemimpin Sarawak.
