KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanan (Pindaan) 2022 yang akan dibentangkan pada Persidangan DUN Sarawak ke-19 Rabu depan tiada kaitan dengan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Speaker DUN Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.
RUU berkenaan akan dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri -Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada hari kedua persidangan, 18 Mei ini.
Asfia berkata, RUU tersebut merupakan suatu yang baharu dan tidak semua orang dapat menjangkakannya malah sangat kompleks dengan mempunyai kesan meluas meliputi definisi tanah.
“Namun, apa yang saya pasti RUU Kanun Tanah (Pindaan )2002 ini tiada kena mengena dengan NCR,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Pra-Persidangan DUN Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Asfia menambah, RUU Ketiga iaitu RUU Hutan (Pindaan) 2022 yang akan dibentang oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada 19 Mei ini juga sangat rumit yang berkisar mengenai pengembangan produk kayu yang dihasilkan.
Justeru katanya, beliau menyerahkan kepada Sharifah Hasidah dan Awang Tengah untuk menjelas dan menghuraikan dengan lebih lanjut berkenaan kedua-dua RUU ini.
“Kedua-duanya sangat sukar untuk saya ringkaskan. Jika saya memparafrasakannya, maknanya akan berubah.
“Justeru, saya serahkan kepada menteri yang bertanggungjawab untuk menjelaskannya semasa pembentangan nanti,” ujarnya.
Menurutnya, ia merupakan kali pertama bagi negeri-negeri di Malaysia untuk memperkenalkan kedua-dua RUU ini dan ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.