KUCHING: Ibadah Korban Aidiladha DUN Satok menerima sumbangan terbesar berbanding tahun-tahun sebelum dengan jumlah keseluruhan lebih 80 ekor lembu.
Menurut ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki, sumbangan pada kali ini menjangkau kebiasaan yang mana pusat sebelum ini hanya menerima sumbangan antara 50 hingga 60 ekor lembu sahaja.
Katanya, tahun ini Pusat Khidmat Dun Satok telah menyumbangkan 20 ekor lembu, dan jumlah 80 ekor ini termasuk individu dan keluarga yang turut menyumbangkan lembu tersebut.
“Kita telah mengagihkan daging menggunakan 15 buah khidmat Ranting-Ranting berdekatan dengan surau dan masjid kepada golongan asnaf dan penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Ibadah Korban di Masjid Darul Ibadah Kampung Kudei Lama, hari ini.



Bagi pengagihan daging tersebut, kata Ibrahim ia menitikberatkan golongan asnaf dan golongan yang memerlukan di sekitar kawasan Satok.
“Jadi setiap keluarga akan menerima bahagian masing-masing selepas itu kita juga akan memberikannya kepada golongan asnaf dan sesiapa yang memerlukan kerana itu keutamaan kita,” ujarnya.
Dalam majlis itu, sebanyak lapan ekor lembu disembelih untuk masjid Darul Ibadah dan seramai 254 penerima daging korban di Kampung Kudei Lama termasuk yang terdiri daripada golongan asnaf dan penduduk kampung.
Turut hadir dalam program tersebut Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.