SARAWAK tampil menonjolkan diri dalam Minggu Kraf London 2023 yang diadakan bermula 8 sehingga 14 Mei (hari ini) dengan mempamerkan pelbagai produk buatan tangan yang terkenal di negeri ini.
Antara yang ditampilkan pada acara tersebut termasuk barangan produk kraf kayu seperti anyaman bakul oleh Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Diikuti, pameran fabrik Sarawak yang menjadi menjadi tarikan, menampilkan corak yang rumit dan warna terang seperti Pua Kumbu kaum Iban serta sulaman elegan masyarakat Melayu Sarawak iaitu songket dan keringkam.
Malah, hasil tenunan Pesona Kain Songket Hybrid (MyPride) Sarawak oleh penenun MyPride Penjara Puncak Borneo Sarawak turut diterbangkan ke acara tersebut untuk dipamerkan.

kepada Tuanku Azizah.
Terdapat juga aksesori yang dihasilkan daripada manik dijadikan sebagai rantai, antinganting, gelang, dan lain-lain turut dipamerkan ketika acara yang berprestij itu.
Semua sedia maklum bahawa Sarawak kaya warisan budaya di rantau ini dengan mempunyai lebih 30 kumpulan etnik utama sekali gus melahirkan rangkaian kraf menakjubkan di negeri ini.
Setiap kraf yang dihasilkan masing-masing memiliki makna, mesej dan tujuan sendiri menjadikan ia sebagai aspek penting dalam pembuatan bagi mengekalkan identiti budaya Sarawak.
Malah, kemahiran ini diturunkan daripada generasi kepada generasi supaya ia tidak ditelan zaman.
Bagaimanapun, menjadi kebimbangan kraf warisan ini berpotensi untuk pupus akibat kemodenan yang berlaku secara global dari semasa ke semasa.
Untuk itu, langkah proaktif perlu diambil untuk menangani perkara tersebut daripada berlaku supaya seni ini dapat dikekalkan, pada masa sama membendung ia pupus atau hilang di mata masyarakat selama-lamanya.
Justeru, platform Minggu Kraf London 2023 dilihat sebagai landasan terbaik kepada Sarawak untuk menampilkan kraf warisan yang terdapat di negeri ini ke mata dunia.
Di samping, promosi dan pemuliharaan kraf melalui pameran seumpama ini mampu mewujudkan peluang pertukaran budaya dan meningkatkan kesedaran serta memberi penghayatan yang lebih mendalam terhadap warisan budaya Sarawak.
Selari usaha dan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memartabat serta mempromosi seni warisan negeri di persada dunia, ia juga bertepatan penubuhan laman sesawang Sarawak Heritage (Saratage. my) oleh Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) Commercial.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut terbang ke London untuk program itu berkata, di bawah Centexs, kerjasama dibuat dengan artisan peribumi bagi memastikan warisan seni dan budaya daripada aspek pembuatan dapat dikekalkan.
“Pengekalan warisan menerusi kerjasama ini akan dibuat secara sistematik.
Apa yang penting untuk mendekati pasaran luar negara dan inilah tujuan kita mempunyai Centexs Commercial iaitu mempromosikan produk ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurutnya lagi, komitmen Sarawak dalam beberapa tahun kebelakangan ini sudah melangkah ke hadapan bagi menggiatkan semula industri kraf tempatan dengan membangkitkan serta mengembangkan lagi hasil produk tradisional seperti tekstil songket dan keringkam serta manik Orang Ulu.

“Saya bangga melihat kraf seperti ini mampu menarik lebih ramai individu yang berminat untuk mempelajarinya, sekali gus memastikan pemeliharaannya untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, seramai empat pembuat kraf Sarawak ditampilkan untuk membuat demo pembuatan sulaman keringkam, tenunan Pua Kumbu, anyaman bakul dan manik seramik secara langsung pada acara tersebut yang disaksikan kira-kira lebih 3,000 pelancong antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut melawat tapak pameran Minggu Kraf London di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, United Kingdom itu memberitahu, platform ini memberi manfaat kepada Sarawak dalam pelbagai aspek.
“Edisi Minggu Kraf London ini memberi peluang yang kepada pembuat kraf dari negeri ini untuk mempamerkan kemahiran dan kraf mereka ke peringkat global menjadikan ia sebagai acara yang sangat bermakna kepada artisan yang mengambil bahagian,” katanya.
Melihat kepada komitmen kerajaan dalam memastikan seni warisan ini dapat dikekalkan, pengllibatan Sarawak dalam acara tersebut berperanan penting kerana dapat menonjolkan kemahiran seni serta produk tempatan ke seluruh dunia.
Selain, usaha ini juga membuktikan dedikasi Sarawak untuk memelihara dan mempamerkan kraf tangan seiring dengan pengiktirafan Kuching sebagai Kraf Dunia Bandar oleh World Crafts Council International (WCCI) pada 2019.
Kuching Sarawak sebagai bandar pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan ini meletakkannya dalam liga yang sama dengan bandar terkenal lain seperti Jaipur (India), Isfahan (Iran), dan Jogjakarta (Indonesia), sekali gus mengukuhkan lagi reputasi rantau ini sebagai pengeluar kraf yang indah bertaraf dunia.
Tidak dinafikan, produk kraf Sarawak mendapat perhatian ketara di pasaran luar negara dan platform yang disediakan kali ini mampu mengukuhkan lagi serta memberi pendedahan yang lebih luas terhadap hasil seni yang dihasilkan.

Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tertarik dengan kraf Sarawak.
Selain, pendedahan ini juga dijangka mampu memberi peluang kepada penghasil kraf untuk menjana pendapatan yang lebih baik kerana ia merupakan salah satu punca rezeki kepada pembuat, pada masa sama meningkatkan sumber ekonomi negara sekiranya industri ini diperkasakan, terutama sekali apabila ia mencapai ke peringkat global.
Sementara, koleksi kraf tangan buatan Sarawak yang dipamerkan di Minggu Kraf London ini hanya gambaran sekilas tentang kraf yang menakjubkan di rantau ini.
Kraf Sarawak bukan sekadar produk semata-mata, tetapi ia adalah bentuk seni hidup yang mencerminkan keperibadian, budaya dan pengalaman si pembuat.
Setiap kraf adalah karya seni unik yang menceritakan kisah dan membawa makna. Aspek tidak ketara dalam kraf Sarawak inilah yang menjadikan ia begitu istimewa dan layak untuk dipelihara.
Untuk itu, Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandar kerana memberi peluang kepada Sarawak untuk turut menyertai program Minggu Kraf London 2023.
“Kita berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia kerana mengetuai kontinjen Malaysia pada edisi kali ini dengan Sarawak turut diberi penghormatan untuk mempamerkan produk dan kraf artisan kami,” katanya.
Tambah Abang Johari, wujudnya kolaborasi antara tiga negeri yang terlibat iaitu Sarawak, Pahang dengan Terengganu menerusi pameran kali ini diyakini membantu memartabatkan seni warisan, pada masa sama mempromosi seni warisan ke peringkat yang lebih jauh.
“Terima kasih juga kerana memberi perhatian kepada Sarawak untuk bersama-sama pembuat kraf Malaysia yang lain.

seronok mendengar penjelasan Shahren mengenai Minggu Kraf London 2023.
Sesungguhnya, minat Tuanku terhadap kraf tempatan serta niat dalam membantu penggiat seni kraf tempatan memberi inspirasi dan mengagumkan,” luahnya.
Untuk rekod, kraf tangan di Sarawak secara amnya dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu pembuatan kraf berasaskan kayu, kain tekstil, tanah liat dan seramik serta logam.
Pameran kali ini menampilkan tiga usahawan kraf dari Centexs Commercial iaitu Ros Salleh dengan produk kraf keringkam, Senia Jugi (tikar bemban) dan Helena David Kalum (manik dan seramik), diikuti usahawan kraf dari Yayasan Tun Jugah Shirley Vilin Ikok dengan produk krafnya, kebat Iban.
Sementara, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib turut mengadakan lawatan rasmi ke Minggu Kraf London 2023.

Delegasi Sarawak turut disertai Pengerusi SPANS Datuk Dr Sabariah Putit, Timbalan Pengarah Lembaga Pelancongan Sarawak Yusfida Khalid, Timbalan Pengarah Akademi Digital Centexs Dr Dayang Hanani Abang Ibrahim dan Timbalan Pengarah Akademi Industri Centexs Dr Nadianatra Musa serta Pengurus Besar Centexs Commercial Shahren Yusri.