ARTIKEL

Dunia kaki buku

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ADA banyak sebab pentaasub dan penggila buku membeli buku.

Seorang kaki buku tetap tidak akan berhenti membeli, membaca, menelaah dan menyimpan buku. 

Kegilaannya itu tidak akan ada titik noktah, kecualilah dia sudah mempunyai kegemaran dan hobi lain yang dapat mengatasi kegilaan membeli dan membaca buku. 

Namun, hal ini jarang berlaku.

Peminat buku lazimnya tetap terus meminati buku hingga akhir hayat.

Maksudnya, kegemaran dan hobi lain tidak mungkin mengatasi minat terhadap buku. 

Buku tetap menjadi cinta utamanya. Untuk itu, dia sanggup berbelanja besar untuk membeli pelbagai jenis buku kerana dia tahu, buku akhirnya membawa kebahagiaan dan kejayaan kepadanya.

Buku teman yang tidak pernah cemburu dan membosankan; sebaliknya teman yang sentiasa menghiburkan dan membijaksanakan.

Kegilaan saya membeli, membaca, dan menelaah buku bermula sejak saya melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia 40 tahun lalu.

Kegilaan itu bagai tidak dapat dikekang ketika saya menjadi pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak mulai 2000. 

Saya fikir saya tidak akan lagi membeli dan membaca buku seghairah ketika saya menjadi pensyarah hampir 20 tahun hingga saya pencen pada awal Ogos 2019.

Rupa-rupanya telahan saya itu salah. 

Cinta terhadap buku tidak pernah padam, dan kecintaan itu semakin membara sebulan dua ini.

Ketika menjadi pensyarah, memang ada keperluan wajib untuk membaca buku dalam bidang yang diajar, termasuk media, komunikasi, komunikasi politik, penulisan dan hubungan etnik. 

Seorang pensyarah perlu sentiasa mengemas kini ilmu dan kepakarannya.

Selain melalui penyelidikan, berbincang dengan pakar lain dan mengikuti seminar dan persidangan, membaca buku ialah jalan terbaik ke arah tersebut.

Tidak ada jalan singkat untuk menjadi pensyarah yang hebat dan handal atau benar-benar pakar dalam bidangnya, kecuali tekun menyelidik dan membaca. 

Percayalah, tidak sama tahap ilmu dan kepakaran seorang yang membaca 10 buku dengan seorang yang membaca seratus buku, apatah lagi seribu buku dalam sesuatu bidang. 

Seorang teman, bekas guru dan pengetua, Yusuf Mustanir antara suri teladan dalam dunia pembacaan.

Beliau menyasarkan untuk membaca seratus buku sebelum 1 Januari 2024. Namun beliau sudah membaca 103 buku setakat 28 November lalu.

Malah, beliau antara orang yang masih lagi membaca semua akhbar tempatan dan nasional setiap hari ketika orang lain sudah beralih ke dunia digital, dan tidak lagi membaca majalah dan akhbar cetak.

Keghairahan dan minat membaca buku dalam pelbagai bidang adalah wajib bagi pensyarah dan mereka yang mahu mendalami sesuatu bidang.

Bidang sains sosial dan kemanusiaan menuntut seseorang untuk membaca pelbagai disiplin ilmu.  

Tentu akan lebih baik jika seseorang membaca pelbagai jenis buku dan bukan sekadar membaca buku dalam bidang kepakarannya.

Jangkauan ilmu dan pandangannya akan menjadi lebih luas, seluas bidang ilmu yang dibacanya.  

Selain membaca buku dalam disiplin yang menjadi bidang kepakaran dan bidang yang dikuliahkan, saya juga membaca buku berkaitan sosiologi, politik, biografi, antropologi, bahasa, sastera, kepimpinan, ekonomi dan karya kreatif termasuk puisi dan cerpen. 

Suatu ketika saya pernah berangan-angan dan bekerja kuat untuk menjadi novelis dan penyair.

Tetapi cita-cita saya itu gagal walaupun saya telah mencuba sedaya upaya untuk membaca sebanyak mungkin puisi dan novel.  

Saya tidak memiliki bakat dan kemahiran untuk menjadi sasterawan walaupun ada novel seperti Madu Dalam Saringan karya Kamala Markandaya yang telah saya baca sekurang-kurangnya 10 kali.

Dan ada puisi seperti Menangguh Kebenaran karya Baha Zain, penyair hebat yang juga Sasterawan Negara, yang telah saya baca sekurang-kurangnya 250 kali.

Seseorang penulis perlu sedar keupayaan dan bakatnya. 

Sebaliknya, saya fikir kekuatan dan minat saya adalah dalam bidang bukan kreatif, termasuk menulis rencana dan biografi.

Justeru, saya bukan sahaja telah membaca ratusan kalaupun tidak ribuan biografi, malah membeli dan menyimpan begitu banyak buku biografi tokoh pelbagai bidang. 

Saya juga telah menulis biografi termasuk tiga biografi mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, iaitu Tun Datuk Abang Haji Openg, Tun Abdul Rahman Yakub dan Tun Abang Salahuddin. 

Malah, saya juga telah menulis sebuah buku tentang teknik menulis biografi bertajuk Menulis Biografi.

Buku ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia selepas membaca dan menelaah begitu banyak buku tentang penulisan biografi dalam bahasa Inggeris, dan juga membaca dengan kegilaan yang luar biasa buku biografi pelbagai tokoh dunia. 

Ketika saya menulis kolum ini, seorang rakan memberitahu, teman beliau membaca begitu banyak biografi.

Daripada biografi pelbagai tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang, beliau mendapat motivasi dan inspirasi sehingga akhirnya beliau berjaya sebagai seorang ahli perniagaan. 

Saya berharap buku tentang teknik menulis biografi itu dapat menjadi panduan mereka yang menyimpan minat untuk menulis biografi, kerana hakikatnya, penulisan biografi perlu diberi perhatian serius.

Saya mengulang baca biografi Sukarno karya Cindy Adams yang pertama kali terbit 58 tahun lalu mungkin untuk kali yang ketujuh disebabkan oleh kehebatan gaya penulisan biografi itu.

Saya mula membeli dan membaca biografi dalam bahasa Inggeris bertajuk Sukarno: An Autobiography As Told To Cindy Adams ketika pertama kali menjejakkan kaki di Jakarta pada 1993. 

Biografi yang sama, kali ini dalam bahasa Indonesia bertajuk Bung Karno: Penyambung Lidah Rakyat Indonesia yang dialih bahasa oleh Syamsu Hadi yang telah diulang cetak enam kali, saya baca baru-baru ini. 

Tabiat dan kegilaan peminat buku sukar dijelaskan.

Saya mempunyai begitu banyak biografi tentang Sukarno dalam bahasa Indonesia, termasuk biografi yang mengisahkan kisah cinta beliau, dan sembilan isteri Presiden pertama Indonesia yang meninggal dunia pada 1970 itu. 

Saya berkelana di pelbagai kota dan bandar di Indonesia, termasuk Jakarta, Yogyakarta, Kota Tinggi, Balik Papan, Bandung, Surabaya, Malang, Pontianak dan sebagainya untuk mencari buku dalam bahasa Indonesia. 

Bagi peminat buku, terdapat pelbagai sebab, sesuatu buku itu dibeli dan dibaca. 

Antaranya, tertarik dengan tajuk buku, kulit buku, harga buku, pengarang, isu dan tema yang diperkatakan, dan ulasan terhadap buku berkenaan.  

Kegilaan membaca buku membuka begitu banyak pintu peluang dan ilmu.

Sesungguhnya, anda bukan apa-apa yang anda makan, sebaliknya anda ialah apa-apa yang anda baca.

You are what you read.

Jadi, bacalah kerana buku yang hebat meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kehidupan dan kerjaya anda, malah kejayaan anda di dunia dan akhirat. 

Buku ialah syurga bagi peminat, penggila dan pentaasub buku.

Ketika ini, saya sedang membaca empat buku sekali gus, termasuk, buku tentang hantu, Cerita Seram di Penjara Pudu yang tidak harus dibaca oleh mereka yang lemah semangat.

Buku ialah dunia yang mengasyikkan, menghiburkan dan membijaksanakan. Kita pasti larut di dalamnya.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penulis buku dan penggila buku yang mempunyai koleksi 11,000 buku.

LAIN-LAIN BERITA

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

BERITA TERBARU

Suasana hiba di kediaman Tun Taib

KUCHING: Suasana hiba dan sayu menyelubungi persekitaran kediaman Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, petang ini. Keadaan cuaca mendung turut seakan-akan turut berduka dengan